KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan rasa syukur dan mendoakan agar segala urusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dipermudahkan Allah SWT.
Menerusi hantaran ringkas di media sosial, Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkongsi doa buat Najib.
“Alhamdulillah..semoga dipermudahkan Allah SWT segala urusan DS Najib Razak aamiin Ya Rabb,” tulisnya.
Hantaran itu menyusul perkembangan terbaharu kes Najib apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah berkuat kuasa serta-merta.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengetepikan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang membolehkan Najib menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Sebelum ini, AGC pada 6 November mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib walaupun denda RM50 juta telah dijelaskan, atas alasan memerlukan penelitian lanjut mengenai tafsiran perintah berkenaan.
Bagaimanapun, pada 7 November, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang kekaburan serta segala syarat ditetapkan telah dipenuhi.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa pelaksanaan kuasa pengampunan Diraja hendaklah dihormati.
Susulan keputusan mahkamah semalam, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman kes SRC secara tahanan rumah. – MYNEWSHUB


