KUALA LUMPUR – Kesetiaan kepada institusi Raja tidak bermakna persoalan undang-undang boleh diabaikan, manakala mempertahankan kedaulatan undang-undang pula bukan bererti mempertikaikan institusi berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua prinsip itu mesti bergerak seiring dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.
“Kita anggap begini, kesetiaan kepada institusi Raja tidaklah membawa makna bahawa kita boleh mengabaikan persoalan undang-undang. Pada masa yang sama, mempertahankan kedaulatan undang-undang tidak bermakna kita mempertikai institusi Raja.
“Dia mesti seiring, kedua-duanya mesti jalan seiring dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi Raja Berperlembagaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan isu pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang dibangkitkan susulan dakwaan kelewatan empat hari oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Saifuddin berkata, kerajaan tidak mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan atau mengambil hak pengampunan yang telah diberikan kepada Najib.
Sebaliknya, tumpuan ketika ini adalah terhadap aspek pelaksanaan yang memerlukan kejelasan undang-undang.
Katanya, kerajaan juga tidak memandang ringan kebimbangan dan kemarahan rakyat berhubung isu berkenaan.
Namun, beliau menolak tanggapan bahawa usaha mendapatkan kejelasan boleh dianggap sebagai tindakan ingkar, derhaka atau sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan. – MYNEWSHUB


