KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilarang menggunakan telefon peribadi, mendedahkan diri dalam mana-mana liputan media atau platform media sosial serta terlibat dalam sebarang aktiviti politik sepanjang menjalani tahanan rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekatan itu antara syarat pengampunan bersyarat yang ditetapkan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.
Menurutnya, Najib hanya dibenarkan menggunakan alat telekomunikasi yang didaftarkan Jabatan Penjara bagi tujuan pengesahan keberadaan dan komunikasi dengan pihak penjara.
“Tidak dibenarkan juga menyebabkan atau mendedahkan diri dalam mana-mana liputan media ataupun platform media sosial.
“Tidak boleh buat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana-mana liputan media. Tidak boleh melibatkan diri dalam majlis keramaian, jauh sekali daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik,” katanya ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, Najib turut dikenakan sekatan tempat tinggal, pergerakan dan lawatan dan hanya ahli keluarga termasuk isteri, anak, menantu dan cucu dibenarkan tinggal bersama Najib.
Individu lain yang ingin tinggal bersamanya perlu memperoleh kebenaran bertulis terlebih dahulu.
Saifuddin Nasution berkata, Komisioner Jeneral Penjara turut mempunyai kuasa menetapkan arahan dan tatacara kawalan serta penyeliaan mengikut Akta Penjara.
Menjawab soalan tambahan, beliau menegaskan sebarang pelanggaran syarat boleh menyebabkan tahanan rumah Najib dibatalkan serta-merta.
“Jika berlaku pelanggaran, maka pihak yang melanggar syarat itu akan segera dikembalikan ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan oleh Commissioner General.
“Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan – langgar, segera dibatalkan dan dikembalikan ke penjara,” katanya. – MYNEWSHUB


