KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan Taiwan menangguhkan rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia.
Menurut beliau, perkembangan itu sepatutnya menjadi pengajaran besar kepada kerajaan mengenai kepentingan berhati-hati ketika mengulas isu geopolitik sensitif.
“Nah sekarang, di mana cerdiknya Perdana Menteri yang penyokong-penyokong Pakatan Harapan agung-agungkan?” soalnya.
Ahmad Fadhli berkata, tidak ada keperluan untuk Perdana Menteri menggunakan istilah berkaitan tindakan ketenteraan dalam konflik yang tidak melibatkan Malaysia secara langsung.
Katanya, pembangkang melalui Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah memberikan teguran sejak Ogos lalu mengenai kemungkinan implikasi diplomatik kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa kerajaan tidak mengambil serius kebimbangan tersebut sedangkan masih mempunyai ruang untuk memperjelas atau menarik balik ungkapan yang mencetuskan kontroversi.
Beliau turut mengingatkan mengenai kepentingan Taiwan sebagai pelabur utama negara.
Menurutnya, berdasarkan rekod rasmi Kementerian Luar Malaysia bagi tempoh 1980 hingga Mac 2026, Taiwan merupakan pelabur kesembilan terbesar dengan 2,719 projek perkilangan diluluskan bernilai AS$16.7 bilion atau kira-kira RM70 bilion.
Pelaburan berkenaan katanya berpotensi mewujudkan lebih 407,000 peluang pekerjaan, manakala RM3.34 bilion pelaburan perkilangan dari Taiwan diluluskan dalam enam bulan pertama 2026 sahaja.
Ahmad Fadhli bimbang ketegangan diplomatik itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur Taiwan, khususnya dalam industri semikonduktor dan teknologi tinggi.
Walaupun pelaburan sedia ada belum dilaporkan dibatalkan, beliau menyifatkan penangguhan rundingan berkenaan sebagai amaran yang tidak boleh dipandang ringan.
“Dasar luar negara memerlukan kebijaksanaan dan ketelitian, bukannya kenyataan spontan yang akhirnya boleh mengundang kesan ekonomi kepada Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


