KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan seruan ke arah perpaduan umat dalam politik Islam sebagai antara pahala terbesar yang boleh diperoleh menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Nik Abduh yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian menerusi satu hantaran ringkas di media sosial yang menekankan kepentingan memperkukuh hubungan dan kesinambungan perpaduan politik.
“Antara pahala terbesar di PRN Melaka adalah seruan kepada perpaduan umat dalam politik Islam. Tinggikan dan sambungkan talian itu,” katanya.
Kenyataan anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu hadir ketika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi menjalinkan kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka.
Pada 28 Oktober lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju mengabsahkan kerjasama dan persefahaman politik dengan PAS serta rakan-rakan dalam PN bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, kerjasama itu turut melibatkan penyatuan jentera pilihan raya dan sokongan penuh kepada calon kedua-dua gabungan.
Kerjasama berkenaan diperkukuh apabila BN dan PN melancarkan manifesto bersama pada 6 November lalu, bertemakan Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara.
Manifesto itu menggariskan enam teras utama dengan 113 inisiatif meliputi kebajikan rakyat, kos sara hidup, perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi negeri.
Antara tawarannya termasuk bekalan air percuma bagi penggunaan domestik di bawah 20 meter padu sebulan, pembinaan 25,000 rumah mampu milik dan sasaran menarik pelaburan sehingga RM30 bilion.
Bagi PRN Melaka kali ini, BN bertanding di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN diberikan lima kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi yang dipertandingkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 November sebagai hari pengundian awal, manakala pengundian biasa berlangsung pada 14 November ini. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nik Mohamad Abduh


