KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar Allah SWT menerangi sanubari pengundi Melaka dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut memohon agar gabungan itu diberikan kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab berbakti kepada rakyat dengan sebaik-baiknya.
“Semoga Allah SWT menerangi sanubari saudara dan saudari dalam membuat pilihan, serta memberikan kekuatan kepada Harapan untuk berbakti sebaik-baiknya,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam hantaran sama, Anwar turut menyentuh mengenai sentimen perkauman sempit yang menurutnya sedang dihadapi dalam landskap politik negara.
Beliau berkata, ketika berdepan sentimen sedemikian, PH memilih pendekatan merangkul kekuatan masyarakat Melayu, Cina dan India dengan menampilkan calon yang disifatkannya berwibawa, bersih serta beramanah.
“Tatkala berdepan dengan sentimen perkauman sempit, Harapan memilih untuk merangkul kekuatan orang Melayu, Cina dan India dengan menampilkan calon yang berwibawa, bersih dan beramanah untuk membawa suara rakyat serta memikul tanggungjawab di Melaka,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar memohon rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada calon PH yang menurutnya menawarkan komitmen bekerja keras, kepimpinan berintegriti serta rekod pencapaian yang telah terbukti.
“Justeru dengan penuh rasa insaf dan rendah hati, saya memohon agar rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada pasukan Harapan yang menawarkan kerja keras, kepimpinan berintegriti serta pencapaian yang telah terbukti untuk membela rakyat dan memajukan negeri,” katanya.
PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 14 November ini dengan pengundian awal ditetapkan pada 10 November. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


