MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Deepavali sebagai perayaan cahaya yang membawa makna mendalam tentang kemenangan kebenaran mengatasi kebatilan, kebaikan mengatasi kejahatan serta keadilan mengatasi kezaliman.
Beliau berkata, semangat itu turut ditekankan ketika menghadiri Majlis Sambutan Sinar Deepavali Madani bersama masyarakat pelbagai kaum di Machap Umboo, Melaka, malam tadi.
Menurut Anwar, kekuatan Malaysia terletak pada kesediaan rakyat untuk saling menghormati tradisi, budaya dan kepercayaan antara satu sama lain.
“Saya tegaskan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kesediaan kita menghormati tradisi, budaya dan kepercayaan antara satu sama lain, di samping memastikan setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang mendapat tempat yang sewajarnya dalam arus pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, prinsip tersebut turut diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.
Antaranya termasuk memperluas bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain meningkatkan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta.
Katanya, kerajaan turut membuka akses pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada masyarakat India yang memerlukan.
Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat menjadikan semangat Deepavali sebagai dorongan untuk membina negara yang bersatu padu, bebas daripada rasuah dan penyelewengan.
“Sesungguhnya, cahaya Deepavali harus terus menyuluh tekad kita membina sebuah negara yang bersatu, menolak rasuah dan penyelewengan, serta menjunjung keadilan dan martabat setiap insan.
“Tiada rakyat yang harus terpinggir, dan tiada kelompok yang harus berasa tersisih daripada cita-cita besar Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau mengakhiri hantaran itu dengan ucapan “Deepavali Nalvaalthukkal! Nandri, vanakkam.” – MYNEWSHUB


