KLUANG – Keprihatinan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi bantuan kepada seorang pemuda yang tabah menjaga ibunya yang menghidap strok sejak lebih 10 tahun lalu.
Pemuda berkenaan, Sivabalan Nundakumul, 28, bekerja sebagai mekanik di Paloh dan berulang-alik setiap hari dari kediamannya di Kampung Sri Lalang, Kluang demi mencari rezeki sambil memastikan kebajikan serta keperluan ibunya sentiasa terpelihara.
Menurut hantaran di laman media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kisah pengorbanan Sivabalan menyentuh hati Seri Paduka Baginda yang berkenan mengunjungi keluarga kurang berkemampuan itu pada 13 September lalu.
Lawatan berkenaan turut disertai Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Susulan lawatan diraja itu, Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyalurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Bantuan merangkumi kerja pemulihan rumah secara menyeluruh, pemasangan bumbung baharu, penyediaan katil perubatan, kerusi roda serta kelengkapan asas bagi memastikan kediaman lebih selesa dan selamat.
Hari ini (5 November), Pengerusi YSR, Datuk Sugumaran Raman dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishammuddin Abdul Rahim mengadakan lawatan susulan ke kediaman Sivabalan.
Lawatan itu turut disertai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSR, Kalki Abdullah dan Datuk Jeeventhiran Ramanaidu.
Dalam lawatan berkenaan, Hishammuddin turut menyampaikan kurniaan Raja Permaisuri Agong berupa sebuah komputer riba serta sumbangan peribadi.
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan bantuan bulanan sebanyak RM2,000 kepada Sivabalan bagi membantu meringankan beban kewangannya dalam menjaga ibu tercinta. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


