KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap kesihatan dan pendidikan anak-anak susulan situasi jerebu yang melanda negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkara itu dizahirkan Seri Paduka Baginda ketika berkenan menerima beliau menghadap semalam.
Menurutnya, Raja Permaisuri Agong menekankan kepentingan mengutamakan kesihatan anak-anak di samping memastikan kelangsungan pendidikan mereka terus terjamin.
“Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan mengutamakan kesihatan anak-anak di samping memastikan kelangsungan pendidikan mereka terus terjamin, khususnya anak-anak daripada keluarga B40 yang mungkin berdepan kesukaran akibat penutupan sekolah.
“Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap implikasi penutupan sekolah yang berpanjangan kepada kesejahteraan emosi dan kesihatan mental anak-anak,” katanya menerusi hantaran media sosial semalam.
Fadhlina berkata, segala pandangan dan titah nasihat Raja Permaisuri Agong menjadi pedoman dalam memastikan keputusan berkaitan pengoperasian sekolah mengambil kira aspek kesihatan serta masa depan pendidikan anak-anak secara menyeluruh.
Beliau turut menyifatkan pertemuan itu sebagai kenangan bermakna apabila Seri Paduka Baginda berkenan menitipkan ucapan selamat hari lahir kepadanya.
“Menjunjung kasih Tuanku atas ingatan yang amat patik hargai,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhlina Sidek


