PUTRAJAYA – Semua kementerian dan agensi kerajaan perlu menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan atau Business Continuity Plan (BCP) masing-masing bagi memastikan fungsi penting kerajaan dapat diteruskan sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap sistem komunikasi, tenaga, pengangkutan atau kemudahan kritikal.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat susulan perkembangan keselamatan global yang semakin tidak menentu serta memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih tinggi dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan.
Menurutnya, beliau telah memanggil semua Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan untuk menghadiri mesyuarat petang semalam, selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen mengenai kesiapsiagaan keselamatan negara.
“Keputusan juga dibuat supaya semua kementerian dan agensi kerajaan perlu menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan atau Business Continuity Plan (BCP) masing-masing supaya fungsi penting kerajaan dapat diteruskan sekiranya berlaku sebarang gangguan terhadap sistem komunikasi, tenaga, pengangkutan atau kemudahan kritikal,” katanya menerusi hantaran media sosial malam tadi.
Shamsul Azri berkata, ketidaktentuan dan konflik kepentingan di peringkat global menuntut kerajaan menilai ancaman keselamatan yang kini tidak lagi tertumpu kepada bentuk konvensional semata-mata.
Katanya, mekanisme keselamatan negara juga perlu diperkukuh bagi menghadapi ancaman siber, sabotaj, penyebaran maklumat palsu serta gangguan terhadap rantaian bekalan.
Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan semua kementerian memperkemas penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat, kejelasan peranan serta perancangan lebih tersusun bagi memastikan tindakan segera dapat diambil apabila berdepan sebarang ancaman.
“Ingin ditegaskan, aspek kedaulatan dan keselamatan negara sama sekali tidak akan dikompromi,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian serius terhadap keselamatan menyeluruh dengan menjadikan risiko terhadap keselamatan negara, kepentingan sektor strategik serta keselamatan rakyat sebagai keutamaan tertinggi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Shamsul Azri bin Abu Bakar


