KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akan membawa isu kontroversi sesi raptai Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Dewan Rakyat pada Isnin ini bagi mendesak penjelasan menyeluruh daripada pihak berkaitan.
Menurut beliau, kenyataan rasmi yang dikeluarkan UniMAP berhubung isu berkenaan dilihat masih belum memberikan penjelasan lengkap mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
“Sepertinya pihak UniMAP masih belum mampu memberikan penjelasan secara menyeluruh berhubung isu yang sedang berlaku.
“Para ibu bapa serta seluruh mahasiswa dan mahasiswi UniMAP berhak mendapat penjelasan yang telus, lengkap dan bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Justeru, Shahidan berkata, beliau akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) di Dewan Rakyat pada Isnin ini supaya isu tersebut diberikan perhatian sewajarnya.
Kontroversi itu tercetus susulan dakwaan tular di media sosial mengenai pelaksanaan sesi raptai sebuah program rasmi UniMAP pada Jumaat lalu.
Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk mahasiswa didakwa akan digagalkan dalam subjek atau kursus sekiranya tidak menyertai raptai berkenaan.
Turut didakwa, mahasiswa terpaksa berada dalam keadaan panas terik sehingga ada yang pengsan, selain beberapa waktu solat terlepas sepanjang program berlangsung.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan belum dapat disahkan secara bebas.
Terdahulu, UniMAP menerusi kenyataan rasmi bertarikh 31 Oktober memaklumkan pihaknya mengambil maklum segala pandangan, kebimbangan dan kritikan orang ramai berhubung pelaksanaan raptai tersebut.
Universiti itu menegaskan kebajikan, keselesaan dan keselamatan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, selain berjanji meneliti serta menambah baik aspek pengurusan dan penyelarasan program.
Namun, kenyataan itu tidak memperincikan kejadian yang mencetuskan kontroversi berkenaan. – MYNEWSHUB


