MELAKA – Pengasas parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan proses penamaan calon bagi kesemua 16 calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selesai dengan baik hari ini.
Beliau berkata, meskipun BERSAMA baru berusia lima bulan, parti itu tetap melangkah ke gelanggang pilihan raya dengan daya juang dan keyakinan setanding parti-parti yang sudah bertapak sejak berdekad lamanya.
“Bagi sebuah parti yang baru lima bulan, kami turun dengan rendah diri tetapi diiringi daya juang dan keyakinan yang setanding dengan parti-parti yang dah berdekad-dekad,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan calon dan barisan peguam yang memastikan semua borang serta keperluan pencalonan disempurnakan dengan baik.
Katanya, sokongan ahli BERSAMA dan penyokong dari Melaka serta seluruh negara yang hadir memberikan semangat kepada kesemua 16 calon amat dihargai.
Dalam pada itu, beliau berkata, BERSAMA kini memperkenalkan barisan calonnya kepada rakyat bagi membolehkan pengundi mengenali wajah, latar belakang dan pengalaman setiap individu yang diketengahkan.
“Kita jumpa di kempen BERSAMA PRN Melaka,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rafizi Ramli


