KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyerahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengambil tindakan merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Pengasas parti BERSAMA itu berkata, tindakan berkenaan boleh diambil susulan dakwaannya bahawa Anwar telah membuat kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat berhubung tindakan mahkamah oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Menurut Rafizi, sidang media Ramanan semalam mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan kes mafia korporat.
“Sidang media Ramanan mengesahkan bahawa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen minggu ini, kononnya Ramanan telah mengambil tindakan mahkamah, adalah tidak benar.
“Saya serahkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk mengambil tindakan seterusnya, iaitu merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk diambil tindakan kerana membuat kenyataan yang tidak benar di Parlimen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Rafizi berkata, Ramanan turut memaklumkan pendiriannya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan tersebut.
Menurutnya, pendirian itu berbeza dengan cabaran Ramanan dalam sidang media terdahulu untuk menyaman mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dengan isu berkenaan. – MYNEWSHUB


