MELAKA – Parti BERSAMA menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pemberian wang RM200 kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Pemimpin Nasional BERSAMA, Lee Chean Chung berkata, dakwaan itu timbul susulan penularan mesej WhatsApp bertarikh 19 Oktober lalu yang memaklumkan pengundi boleh menuntut bayaran RM200 di sebuah dewan berhampiran Balai Polis Tanjung Minyak.
Menurutnya, mesej yang didakwa telah dikongsi berulang kali itu turut menyatakan tempoh tuntutan bayaran berkenaan adalah dari 20 hingga 24 Oktober.
“Semakan lokasi menunjukkan dewan yang paling hampir ialah Balai Raya Tanjung Minyak Jaya,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Chean Chung mendakwa, tempoh yang dinyatakan dalam mesej berkenaan turut bertindih dengan penganjuran program Minggu Melaka Ceria yang berlangsung dari 19 hingga 25 Oktober lalu.
Beliau mendakwa tapak program tersebut terletak bersebelahan Balai Raya Tanjung Minyak Jaya dengan jarak tidak melebihi 50 meter.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada benar wujud program pemberian wang RM200 berkenaan dan pihak yang bertanggungjawab menganjurkannya.
“Benarkah wujud program bayaran RM200 ini? Dan siapakah penganjur yang sanggup membelanjakan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk pengundi DUN Paya Rumput?” soalnya.
Chean Chung turut mendesak SPR dan SPRM segera menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan tersebut.
Katanya, BERSAMA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan yang didakwa melibatkan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
Beliau memaklumkan BERSAMA akan mengemukakan aduan rasmi kepada SPR dan SPRM pada Isnin, 2 November ini.
Bagaimanapun, dakwaan pemberian wang RM200 itu masih belum dapat disahkan dan tiada bukti dikemukakan dalam kenyataan tersebut yang mengesahkan pembayaran benar-benar berlaku. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lee Chean Chung


