KUALA LUMPUR – Semakin banyak negara termasuk Britain, Jepun, Jerman, Sweden dan Norway menggesa rakyat masing-masing menyimpan bekalan makanan, air minuman serta barangan keperluan asas sebagai persediaan menghadapi kemungkinan krisis besar.
Menurut laporan Reuters pada 23 Oktober, kerajaan Britain melancarkan kempen Be Ready yang menggalakkan setiap isi rumah menyediakan bekalan kecemasan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam.
Langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap ancaman serangan siber, cuaca ekstrem, gangguan infrastruktur serta ancaman keselamatan daripada negara bermusuhan.
Sementara itu, Seoul Economic Daily pada 27 Oktober melaporkan kerajaan Jepun merancang menggesa rakyat menyimpan makanan, air minuman dan keperluan sanitasi untuk sekurang-kurangnya tiga hari, atau seminggu jika mampu.
Gesaan yang dirancang diumumkan pada 2 November itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi gempa bumi besar, letusan gunung berapi dan bencana lain.
Akhbar The Guardian pada 23 Oktober pula melaporkan beberapa negara lain turut mempunyai panduan kesiapsiagaan, termasuk Jerman yang menyarankan bekalan sehingga 10 hari, manakala Sweden dan Norway menggalakkan persediaan untuk seminggu.
Laporan The Economic Times pada 29 Oktober turut menyenaraikan Amerika Syarikat, Perancis, Finland, Ireland dan beberapa negara Eropah lain yang menggalakkan rakyat menyediakan bekalan kecemasan.
Antara barangan disarankan termasuk makanan tahan lama, air minuman, ubat-ubatan, lampu suluh, bateri, radio dan wang tunai.
Walaupun langkah berkenaan mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan peperangan besar, nasihat tersebut tidak bermakna perang dunia bakal berlaku.
Sebaliknya, ia bertujuan memastikan penduduk mampu meneruskan kehidupan sementara menunggu bantuan apabila berlaku bencana, serangan siber atau gangguan perkhidmatan asas.


