KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi di Melaka ketika majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
BERSIH dalam kenyataan media semalam menegaskan, pengumuman bantuan kerajaan tidak sepatutnya dibuat dalam program parti politik kerana mengaburkan pemisahan antara urusan kerajaan dengan kegiatan kempen pilihan raya.
Menurutnya, tindakan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa bantuan menggunakan dana kerajaan merupakan sumbangan parti politik yang bertanding, sama ada disengajakan atau sebaliknya.
BERSIH mengambil maklum penjelasan Anthony Loke bahawa bantuan berkenaan telah diumumkan dalam Belanjawan 2027 dan akan disalurkan kepada pemandu teksi, kereta sewa serta bas sekolah di seluruh negara.
Bagaimanapun, pertubuhan itu menegaskan, penjelasan berkenaan tidak menjawab persoalan mengapa bantuan tersebut dibangkitkan ketika majlis pengumuman calon PH di Melaka.
“Hasil daripada penjualan nombor pendaftaran khas yang digunakan untuk membiayai bantuan ini merupakan hasil kerajaan yang sewajarnya dimanfaatkan untuk kebajikan semua rakyat.
“Ia bukan dana milik mana-mana parti politik dan tidak sepatutnya diumumkan atau dipromosikan dalam acara kempen bagi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah,” katanya.
BERSIH menjelaskan, pihaknya tidak mempertikaikan hak pemandu yang layak menerima bantuan itu, khususnya ketika berdepan peningkatan kos sara hidup dan operasi.
Namun, Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agung DAP perlu memastikan tanggungjawab kerajaan diasingkan daripada kegiatan kempen parti.
Sehubungan itu, BERSIH menekankan prinsip 3C iaitu tiada syarat politik, tiada kempen dan tiada penglibatan calon dalam program rasmi kerajaan.
BERSIH turut menggesa parti-parti dalam Kerajaan Persekutuan dan negeri menghentikan amalan mempromosikan bantuan kerajaan dalam acara kempen.
Peraturan jelas dan mengikat juga perlu diperkenalkan bagi mengawal penggunaan sumber kerajaan sepanjang pilihan raya.
“Bantuan untuk rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk meraih sokongan politik,” tegasnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial BERSIH


