MELAKA – Kerajaan Madani memberi perhatian kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana menerusi pelbagai bentuk bantuan, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), insentif pendidikan serta langkah berkaitan percukaian.
Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha membantu rakyat meliputi pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga berpendapatan rendah, golongan pertengahan dan pelajar yang memerlukan sokongan kewangan.
“Seperti yang baru-baru ini kita buat, hasil daripada jualan nombor pendaftaran H sebanyak RM91 juta, kita bagi balik terus kepada pemandu teksi (yang layak) RM1,000.
“Untuk pemandu teksi di Melaka, tolong ambil perhatian. Saya akan turun pagi Isnin ini (esok), kita bagi terus RM1,000 kepada setiap pemandu teksi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Melaka di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
“Kita percaya kita diberi amanah untuk menjaga kerajaan, menjaga negara ini, menjaga harta dan hasil kita untuk kesejahteraan rakyat. Ini falsafah kita dalam kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Anthony Loke berkata, dalam dunia politik, kemenangan dan kekalahan merupakan perkara biasa, namun semangat perjuangan perlu sentiasa dikekalkan.
“Dalam dunia politik, kadang-kala kita menang, kadang-kala kita kalah. Jadi, bukan selalu kita mendapat keputusan terbaik. Yang paling penting ialah semangat juang kita kekal kuat dan kekal tinggi.
“Walaupun PH kecundang di Negeri Sembilan, kita akan bangkit kembali di Melaka. Dalam PH, susah senang kita bersama,” katanya.
Anthony Loke berharap rakyat Melaka terus memberikan sokongan kepada PH, sambil menegaskan gabungan itu akan meneruskan perjuangan bagi memastikan dasar kerajaan memberi manfaat kepada masyarakat. – MYNEWSHUB


