KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya yang kini menyertai parti BERSAMA, Lee Chean Chung mempersoalkan sumber pembiayaan program Minggu Melaka Ceria yang menawarkan 14 motosikal dan 100 telefon pintar sebagai hadiah cabutan bertuah.
Beliau menggesa Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menjelaskan sumber dana program yang berlangsung dari 19 hingga 25 Oktober lalu.
“Berdasarkan anggaran konservatif, walaupun dikira mengikut harga motosikal dan telefon pintar termurah di pasaran, nilai hadiah tersebut sahaja dianggarkan melebihi RM100,000, belum termasuk kos penganjuran, promosi dan logistik,” dakwanya menerusi hantaran media sosial.
Chean Chung bagaimanapun mengakui tidak semestinya semua perbelanjaan program berkenaan dikategorikan sebagai perbelanjaan pilihan raya.
Menurutnya, program tersebut dikatakan dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun identiti penganjur dan sumber tajaan perlu diperjelaskan.
“NGO manakah yang begitu berkemampuan sehingga boleh menyediakan hadiah sebanyak dan senilai ini? Siapakah penajanya?
“Mengapa identiti NGO penganjur tidak dipaparkan dengan jelas dalam bahan promosi dan rakaman program?” soalnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lee Chean Chung


