MELAKA – UMNO sanggup melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang dimenanginya sebelum ini dan bertanding di kerusi yang pernah tewas iaitu Sungai Udang demi memastikan perpaduan ummah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hasan berkata, pengorbanan itu membuktikan kesediaan UMNO mengutamakan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berbanding kepentingan parti sendiri.
“UMNO juga telah sanggup lepaskan kerusi yang mereka menang iaitu Paya Rumput untuk bertanding di kerusi yang mereka kalah di Sungai Udang. Ini semua adalah pengorbanan UMNO demi perpaduan ummah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, UMNO juga tidak meningkatkan bilangan kerusi ditandingi meskipun kebiasaannya sesebuah parti mahu bertanding lebih banyak kerusi daripada yang dimenangi.
Katanya, MIC turut berpuas hati bertanding satu kerusi sahaja iaitu Gadek yang dimenangi parti itu sebelum ini.
Justeru, beliau berpandangan MCA juga wajar mengambil pendekatan sama dengan hanya mempertahankan kerusi yang dimenangi.
“Jika MCA fikir mereka perlu bertanding lebih dua kerusi, MIC juga boleh fikir perkara yang sama bertanding lebih satu kerusi.
“Namun, ini menyukarkan perbincangan dengan PN-PAS kerana kita mahu bawa gelombang ini sampai ke Putrajaya,” katanya.
Azrul turut mencadangkan PAS bertanding di Paya Rumput dan Bukit Katil, Wawasan Negara di Bemban dan Ayer Keroh, GERAKAN di Kota Laksamana dan Bandar Hilir serta MIPP di Kesidang.
Beliau berkata, UMNO juga bersedia menyerahkan Bukit Katil kepada PAS meskipun menduduki tempat kedua di kerusi berkenaan.
Menurutnya, melalui kerjasama politik atau tahaluf siyasi antara BN dan PN, gabungan itu berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 25 daripada 28 kerusi DUN Melaka.
“Dengan tahaluf siyasi yang ada ini, BN-PN boleh menang sekurang-kurangnya 25 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan sekali gus meruyupkan PH yang telah banyak buat kerosakan di negara kita ini,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hasan


