KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat projek pembangunan luar bandar bagi tahun 2026 yang diarahkan supaya dibatalkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) walaupun peruntukan telah disediakan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, keadaan tersebut berlaku apabila dana tidak disalurkan, sekali gus menjejaskan pelaksanaan projek khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Apa yang berlaku baru-baru ini, saya bersimpati dengan rakan-rakan daripada Sarawak dan Sabah. Terdapat projek-projek tahun 2026 yang telah diarahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian untuk dibatalkan. Sedangkan peruntukan telah ada.
“Tetapi tidak ada penyaluran dana. Ini saya sebut betul-betul. Yang jadi mangsa ialah Sabah dan Sarawak. Begitu juga masyarakat kampung lain di Semenanjung,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Zahid turut memohon maaf kerana terpaksa berterus terang mengenai perkara tersebut yang disifatkannya tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, setiap projek yang telah diumumkan perlu dilaksanakan dan bukannya memberi keutamaan kepada projek yang tidak pernah diumumkan.
“Jika telah diumumkan, mesti dilaksanakan. Jangan melaksanakan projek yang tidak diumumkan. Jadi itu menjadi masalah kepada banyak kementerian, bukan hanya kementerian saya.
“Saya tidak menyentuh siapa-siapa dalam perkara ini. Tetapi kita elakkan daripada perkara itu berlaku,” tegasnya.
Sementara itu, menerusi hantaran di media sosial, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau telah menjelaskan kedudukan pengurusan kewangan dan pelaksanaan Program Jalan Luar Bandar (JALB) di bawah KKDW di Dewan Rakyat.
Katanya, setiap peruntukan dan penyelarasan tetap tertakluk kepada proses serta tatacara kewangan kerajaan yang ditetapkan.
“Yang paling penting, JALB ini adalah untuk rakyat di pedesaan. Apabila projek tertangguh, rakyat juga yang menunggu. Biarlah fakta yang menjawab. Cukup-cukuplah dengan persepsi yang mengelirukan,” katanya. – MYNEWSHUB


