BAGAN DATUK – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan masih ada peluang untuk menyemak semula calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diumumkan malam tadi sekiranya tidak mendapat persetujuan MCA.
Beliau berkata, senarai calon berkenaan masih boleh dirunding kerana watikah pelantikan calon belum ditandatanganinya.
“Ada peluang lagi kalau calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama beberapa pemimpin parti itu meninggalkan majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.
Menurut beliau, urusan perbincangan mengenai calon sebelum ini diserahkan kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Itu saya serahkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengerusi BN Melaka, kerana mungkin beliau telah berbincang dengan pengerusi dan kepimpinan MCA di Melaka,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengakui Ka Siong terkejut dengan pengumuman calon berkenaan kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh sekretariat BN.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan isu tersebut akan diselesaikan melalui perbincangan sebelum 31 Oktober ini, iaitu hari penamaan calon PRN Melaka.
Kontroversi tercetus apabila Ka Siong mendakwa MCA tidak dimaklumkan bahawa majlis berkenaan turut membabitkan pengumuman calon, selain mempertikaikan pengagihan kerusi yang didakwa dibuat tanpa persetujuan parti.
BN malam tadi mengumumkan 21 calon bagi PRN Melaka, termasuk dua wakil MCA. – MYNEWSHUB


