MELAKA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh jentera parti supaya merapatkan saf, mengetepikan perbezaan dan menggembleng kekuatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau menegaskan, setiap anggota dan jentera BN perlu bekerja habis-habisan serta mendekati seluruh lapisan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana rakyat di negeri itu.
“Rapatkan saf, ketepikan perbezaan dan rangkul semua kekuatan. Kita turun bekerja habis-habisan, menyantuni setiap lapisan masyarakat.
“Jangan ada seorang pun rakyat Melaka yang kita tinggalkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap semangat yang ditunjukkan keluarga besar BN dari seluruh negara ketika menghadiri majlis di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.
Menurutnya, cabaran yang bakal dihadapi bukan mudah, namun pengalaman perjuangan politik di Johor dan Negeri Sembilan menjadi sebahagian daripada semangat yang kini dibawa ke Melaka.
“Alhamdulillah, luar biasa semangat keluarga besar Barisan Nasional dari seluruh negara yang memenuhi MITC malam tadi!
“Cabaran di hadapan kita besar. Di Johor kita sudah rasa. Di Negeri Sembilan kita sudah tempuh. Kini, semangat itu kita bawa ke Melaka,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu turut berharap semangat yang ditunjukkan jentera BN dapat diteruskan ke seluruh negeri menerusi kempen yang digelar Gelombang Biru.
“Insya-Allah, kita bawa semangat ini ke seluruh negeri. Biar Gelombang Biru terus melanda di bumi Melaka!” katanya.
Beliau mengakhiri hantaran dengan serangkap pantun yang membawa mesej perjuangan dan kesungguhan menghadapi pilihan raya.
“Selat Melaka luas terbentang, Bahtera gagah membelah gelombang; Apa jua rintangan mendatang, Kita lawan… lawan sampai menang!”
Ahmad Zahid turut mendoakan supaya Allah SWT mempermudah segala urusan dan memberkati perjuangan BN. – MYNEWSHUB


