KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan bahawa bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi bukan wang milik DAP atau Pakatan Harapan (PH), sebaliknya dana kerajaan yang merupakan wang rakyat.
Beliau berkata, bantuan itu juga bukan wang peribadi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP.
“Kena ingat, RM1,000 itu bukan duit DAP. Bukan duit PH. Bukan juga duit poket Anthony Loke. Itu duit negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Ahmad Fadhli mengulas pengumuman Loke ketika pelancaran jentera pilihan raya PH di Stadium Hang Jebat pada 24 Oktober lalu bahawa beliau akan turun sendiri menyampaikan bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi Melaka pada Isnin.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM53 juta kepada kira-kira 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah, dengan dana dikaitkan dengan kutipan RM91.2 juta hasil bidaan nombor pendaftaran khas siri H.
Katanya, bantuan berkenaan sudah diumumkan dalam Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu, sekali gus mempersoalkan keperluan pengumumannya dibuat sekali lagi di pentas politik PH.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak mempertikaikan bantuan kepada rakyat, sebaliknya mempersoalkan tindakan membawa urusan kerajaan ke pentas kempen parti.
“Kita bukan pertikai bantuan. Kita cuma nak tahu kenapa urusan kerajaan dibawa masuk ke pentas politik. Kalau semuanya ikut prosedur, tunjuk sajalah jadual asal, surat kelulusan dan rekod perbelanjaan,” katanya.
Tegasnya, tugas kementerian dan parti tidak sepatutnya dicampuradukkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa parti politik cuba mengambil kredit atas bantuan kerajaan.
“Duit rakyat tetap duit rakyat. Bukan tabung kempen DAP,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


