MELAKA – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan semua pihak supaya menghormati perbezaan pandangan dan tidak menjadikan perselisihan sebagai alasan untuk bermaki hamun serta memecahbelahkan masyarakat.
Menurut beliau, perbezaan pendirian dan sokongan terhadap mana-mana pihak adalah perkara biasa dalam politik, namun keharmonian masyarakat perlu terus dipelihara.
“Kita boleh berbeza pandangan dan berpihak, tetapi jangan sampai bermaki hamun serta memecahbelahkan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian ketika berkongsi mengenai Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di pekarangan Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, beliau turut mengingatkan rakyat Melaka supaya menjadikan isu Raja Berperlembagaan yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai iktibar.
Beliau berkata, pengalaman krisis politik akibat perebutan kuasa di pertengahan jalan sebelum ini juga wajar dijadikan pengajaran supaya kejadian sama tidak berulang.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru rakyat Melaka agar mengutamakan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan masa depan negeri ketika membuat pilihan dalam PRN akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berkongsi usaha Kerajaan Madani membuka peluang kepada usahawan pertanian meningkatkan pendapatan sehingga mampu bergelar jutawan menerusi pasaran eksport.
Mohamad juga menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dan tegas terhadap Israel dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 21 calon PH yang akan bertanding pada PRN Melaka Ke-16, termasuk lima calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah)
Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang diumumkan dan menggesa mereka terus bekerja keras serta berkhidmat untuk rakyat. – MYNEWSHUB


