KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kemakmuran sebenar sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada angka belanjawan yang besar, sebaliknya turut ditentukan oleh keberkatan, keadilan dalam pengagihan serta kebajikan rakyat yang terbela.
Beliau berkata, belanjawan negara bukan sekadar membabitkan angka, hasil, perbelanjaan dan hutang, tetapi merupakan amanah besar yang menentukan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, setiap dasar kewangan perlu dinilai berdasarkan manfaat kepada rakyat, bukannya semata-mata memenuhi kepentingan kerajaan, korporat atau golongan tertentu.
Dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini, Abdul Hadi berkata, Islam menuntut pengurusan kewangan negara dilaksanakan secara amanah, adil dan berpandukan sumber yang baik.
“Beban hutang, amalan riba, kenaikan harga barang serta ketirisan akibat peranan orang tengah perlu ditangani dengan serius,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan negara tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan insan, khususnya melalui sistem pendidikan yang merangkumi aspek ilmu, akhlak, rohani dan tanggungjawab sosial.
Menurutnya, tanpa asas tersebut, dasar dan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk membentuk masyarakat yang saling bertimbang rasa serta menjauhi kerosakan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan kerajaan supaya mendapatkan khidmat penasihat yang jujur dan berani memberikan teguran, bukannya sekadar mengampu.
Tegasnya, setiap keputusan kerajaan perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip keadilan serta menghormati Perlembagaan.
Beliau berkata, negara yang baik tidak boleh dibina melalui janji semata-mata, sebaliknya memerlukan amanah yang ditunaikan, keadilan ditegakkan dan kebajikan rakyat benar-benar diutamakan. – MYNEWSHUB


