KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengecam tindakan kerajaan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), yang disifatkannya sebagai langkah mencerminkan ketakutan semakin memuncak di pihak kerajaan.
Beliau mendakwa tindakan melalui notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bertarikh 20 Oktober 2026 itu mendahului keputusan mahkamah dan menghadkan hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan.
“PAS kesal dengan tindakan ini yang dilihat mendahului keputusan mahkamah, menghadkan hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan, sekaligus memperlihatkan ketakutan yang sedang memuncak di pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hadi menegaskan pentadbiran dan pengurusan PN dilaksanakan secara teratur serta mengikut perlembagaan gabungan itu.
Menurutnya, hubungan antara parti anggota PN juga kekal utuh, kecuali satu pihak yang didakwanya telah menyisihkan diri dan berpaling arah.
Beliau berkata, PAS bersama parti-parti PN yang sehaluan akan menentukan langkah susulan, termasuk mencabar keputusan pembatalan itu di mahkamah dan membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Abdul Hadi turut menghargai sokongan ahli, penyokong serta pengundi atas pagar yang mengharapkan perubahan kepimpinan negara, selain menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan lunas demokrasi.
Semalam, ROS mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Abdul Hadi Awang


