JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengajak seluruh Bangsa Johor bersama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa melindungi negeri itu dan Malaysia daripada sebarang musibah serta bencana.
Beliau berharap segala usaha dan kerjasama yang dilaksanakan kerajaan dapat memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Kepada seluruh Bangsa Johor, marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa melindungi negeri Johor dan seluruh negara daripada sebarang musibah dan bencana,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) Bilangan 1 Tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan negara menghadapi pelbagai ancaman termasuk jerebu, fenomena El Niño dan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Menurutnya, Johor berdepan episod jerebu sejak 25 Ogos lalu sehingga beberapa kawasan pernah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.
Keadaan itu membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah memberi kesan langsung terhadap kesihatan dan kehidupan harian rakyat.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan kerjasama Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan dan negara ASEAN bagi memperkukuh pemantauan titik panas, pencegahan kebakaran serta menangani pencemaran udara rentas sempadan.
Katanya, mesyuarat turut membincangkan persediaan menghadapi MTL 2026/2027 termasuk risiko banjir, tanah runtuh, ramalan cuaca dan penyelarasan operasi tindak balas bencana.
Onn Hafiz menegaskan Johor akan terus mengutamakan sistem amaran awal, kesiapsiagaan petugas, penyelarasan bantuan dan langkah pengurangan risiko bencana.
Beliau turut berharap segala ikhtiar itu dipermudahkan demi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
“Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor. Kepada Allah Kita Berserah,” katanya. – MYNEWSHUB


