SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim turun padang memberikan sokongan kepada skuad Negeri Sembilan FC apabila hadir menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Sabah FC yang berkesudahan seri 1-1.
Beliau berkata, kehadirannya ke stadium petang semalam bukan sekadar memberikan sokongan kepada skuad The Jangs, malah sebagai tanda kebersamaan dalam menyemarakkan semangat bola sepak di Negeri Sembilan.
“Petang tadi (semalam) saya berkesempatan hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Sabah FC yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.
“Kehadiran ini bukan sekadar tanda sokongan kepada skuad The Jangs tetapi juga sebagai tanda kebersamaan dalam menyemarakkan semangat bola sepak di Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Ismail turut berharap agar semua pemain Negeri Sembilan FC terus mempamerkan aksi terbaik dan berjuang dengan penuh semangat demi mengharumkan nama negeri.
Menurutnya, keputusan menang atau kalah tidak akan menggugat sokongan terhadap pasukan berkenaan.
“Menang atau kalah, sokongan kita terhadap pasukan negeri akan terus kekal utuh. Ayuh kita terus berdiri teguh di belakang The Jangs. Hobin Jang Hobin!” katanya. – MYNEWSHUB


