KUALA LUMPUR – Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) memandang serius penahanan Tamim Dahri dan abangnya, Talha yang dikaitkan dengan kontroversi rumah ibadat berhampiran Lebuhraya New Pantai (NPE)
Pengerusinya, Firdaus Wong Wai Hung menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang, namun ia mesti dikuatkuasakan secara adil terhadap semua pihak.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil terhadap semua pihak, bukan hanya kepada sebelah pihak sahaja yang mahu mendaulatkan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Firdaus Wong berkata, GARAH sama sekali tidak mempertahankan sebarang perbuatan vandalisme, penghinaan agama mahupun tindakan mengambil undang-undang ke tangan sendiri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan terhadap individu tertentu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan persoalan lebih besar berhubung status tanah, kesahan struktur bangunan serta tanggungjawab pihak berkuasa dalam menangani pertikaian berkenaan.
Dalam masa sama, GARAH turut menuntut supaya hak Tamim Dahri dan Talha untuk mendapatkan pembelaan undang-undang serta proses siasatan yang adil dihormati sepenuhnya.
Katanya, sebarang pertuduhan terhadap kedua-dua individu itu hendaklah dibuat berdasarkan bukti yang kukuh dan bukannya dipengaruhi tekanan atau sentimen.
“Undang-undang mesti ditegakkan, bukan dipilih-pilih. Kerajaan wajib menjawab persoalan status tanah dan penguatkuasaan, bukan sekadar menahan individu,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Firdaus Wong memaklumkan, GARAH menerusi Taskforce Peguam akan membantu Tamim dan Talha. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Firdaus Wong Wai Hung

