KUALA LUMPUR – Majistret hanya membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap Tamim Dahri dan abangnya, Talhah walaupun pegawai penyiasat memohon supaya kedua-duanya direman selama empat hari.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Aidil Khalid menerusi hantaran di media sosial selepas mengikuti perkembangan kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Menurut Aidil, berdasarkan tempoh reman yang dibenarkan mahkamah, kedua-dua beradik itu dijangka dibebaskan esok.
“Pegawai penyiasat minta untuk reman Tamim Dahri dan abangnya Talhah selama empat hari. Tapi Majistret hanya benarkan dua hari sahaja. Jadi insya-Allah, besok sepatutnya mereka dilepaskan,” katanya.
Terdahulu, Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) memandang serius penahanan Tamim Dahri dan abangnya, Talha yang dikaitkan dengan kontroversi rumah ibadat berhampiran Lebuhraya New Pantai (NPE)
Pengerusinya, Firdaus Wong Wai Hung menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang, namun ia mesti dikuatkuasakan secara adil terhadap semua pihak.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil terhadap semua pihak, bukan hanya kepada sebelah pihak sahaja yang mahu mendaulatkan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Aidil Khalid


