JOHOR BAHRU – Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Johor akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh penutupan sekolah selama lima hari bermula 12 hingga 16 Oktober ini susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, semua aktiviti luar di TASKA perlu dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara tidak sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Puan Hajah Hasrunizah Hassan berkata, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak pula akan ditutup sepanjang tempoh berkenaan.
“Semua TASKA akan terus beroperasi seperti biasa pada tarikh berkenaan. Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, sebarang aktiviti luar hendaklah dihentikan bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada keadaan udara yang tidak sihat.
“Bagi PDK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak, operasinya akan ditutup selama lima hari bermula 12 Oktober 2026 (Isnin) hingga 16 Oktober 2026 (Khamis), selaras dengan langkah keselamatan susulan keadaan jerebu semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hasrunizah, kerajaan negeri memahami perubahan operasi itu mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa, penjaga, pengusaha TASKA serta keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.
Justeru, beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dan kefahaman bagi memastikan kebajikan serta keselamatan kanak-kanak terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa, penjaga dan pengusaha TASKA supaya sentiasa memantau keadaan kesihatan kanak-kanak serta memastikan mereka mendapat bekalan air minuman mencukupi.
Katanya, pemeriksaan dan rawatan segera perlu diperoleh sekiranya kanak-kanak menunjukkan gejala seperti batuk, sakit tekak, sesak nafas atau ketidakselesaan akibat jerebu.
“Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan keadaan semasa.
“Sebarang perubahan atau arahan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan keadaan dan nasihat pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Hasrunizah turut menegaskan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak.
Beliau menyeru masyarakat agar terus mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak sepanjang tempoh keadaan udara tidak sihat itu. – MYNEWSHUB


