KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan supaya sekolah di kawasan terjejas akibat jerebu ditutup susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berpanjangan antara 150 hingga 180.
Seri Paduka Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar sekolah berikutan keadaan jerebu yang sedang melanda negara.
Baginda bertitah, aspek kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar perlu diberi keutamaan, selain menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan perhatian serius terhadap situasi berkenaan.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Sultan Ibrahim turut menekankan kepentingan tindakan segera oleh pihak berkaitan bagi memastikan golongan berisiko tidak terdedah kepada kesan buruk pencemaran udara.
Semalam, kerajaan Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri itu. – MYNEWSHUB


