KUALA LUMPUR – Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini dianggarkan menjana kesan limpahan ekonomi melebihi RM345 juta kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, acara sukan antarabangsa itu berjaya menarik seramai 261,000 penonton dengan hampir separuh daripadanya dijangka terdiri daripada pelancong asing.
Menurut beliau, impak positif berkenaan membuktikan peranan penting penganjuran acara sukan antarabangsa berskala besar dalam merangsang aktiviti ekonomi negara, khususnya menerusi peningkatan perbelanjaan pelancongan serta permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan.
Katanya, antara sektor PMKS yang menerima manfaat termasuk penginapan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, hiburan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan.
“Penonton yang menghadiri acara F1 ini diunjurkan berbelanja 2.17 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan acara biasa,” menurut kenyataan disiarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini.
Untuk rekod, kejayaan Malaysia dipilih sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 didorong oleh hubungan erat dan diplomasi diraja Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim dengan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain.
Dalam pada itu, Steven Sim berkata, pelancong asing juga lazimnya berbelanja lebih tinggi berikutan tempoh penginapan yang lebih panjang, selain perbelanjaan bagi makanan, pengangkutan, membeli-belah dan aktiviti riadah.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Malaysia boleh terus memanfaatkan penganjuran acara sukan antarabangsa seperti F1 sebagai platform untuk memperluaskan akses pasaran PMKS serta meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian nilai industri pelancongan dan hospitaliti.
Jelasnya, usaha berkenaan termasuk memperkukuh kerjasama antara PMKS dengan pemain industri utama, penganjur acara, pengusaha pelancongan serta pembekal tempatan supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati lebih ramai peniaga kecil. – MYNEWSHUB


