KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai silap langkah kerana menolak syor pelaksanaan enam langkah fiskal and kewangan yang beliau kemukakan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Guan Eng mendakwa syor tersebut untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) dan rakyat yang terdedah dengan cabaran ekonomi.
Menurutnya, PKMS dan rakyat sedang dilandai oleh kenaikan kos ekoran lonjakan harga minyak dan persaingan potongan harga oleh syarikat-syarikat negara asing.
“Enam cadangan tersebut telah ditolak dalam suatu surat kepada saya oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican bertarikh 23 Julai 2026,” katanya.
Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, beliau membuat enam syor tersebut semasa berjumpa dengan Perdana Menteri di pejabat rasminya pada 20 Julai lalu.
Kata beliau, syor itu termasuk menaikkan nilai ambang E-invoicing kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta dan menubuhkan tribunal pembayar cukai khas bagi individu dan PKMS.
Menurut beliau, syor lain adalah memansuhkan caruman dua peratus KWSP oleh majikan untuk pekerja asing dan meluluskan tambahan dan pemperosesan pekerja asing dengan pendigitalan yang komprehensif.
Beliau turut mengesyorkan Moratorium Bayaran Faedah untuk PMKS bagi tempoh setahun bagi pinjaman kewangan dan bank yang sedia ada selain meluluskan pinjaman sebanyak RM5 bilion tanpa faedah dan tanpa cagaran untuk jumlah RM50,000 pertama bagi 100,000 PMKS.
“Ini amat perlu demi ‘survival’ 1.1 juta PMKS kepada negara yang memainkan peranan penting dengan sumbangan 38 peratus kepada KDNK Malaysia. Lagipun kos boleh ditanggung sebahagian besarnya oleh industri perbankan.
“Industri perbankan telah mencatatkan kenaikan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 6.5 billion atau 13.5 peratus dalam tahun 2025 daripada RM48.3 bilion pada 2024 kepada RM m54.8 bilion dalam tahun 2025.
“Tidak ada industri atau sektor dalam Malaysia yang memiliki prestasi keuntungan yang begitu tinggi. Industri bank harus menghulurkan tangan membantu pelanggan PMKS yang selama ini memberikan mereka keuntungan yang lumayan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


