KUALA LUMPUR – Agenda Malaysia Biru tidak boleh sekadar kekal sebagai satu gagasan yang dibicarakan, sebaliknya mesti diterjemahkan menjadi masa depan negara yang dibina bersama.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gagasan berkenaan lahir daripada persoalan mengenai bentuk Malaysia yang mahu dibina untuk generasi akan datang.
Menurutnya, politik negara tidak boleh selama-lamanya berputar pada pertelingkahan sama ketika rakyat mahukan pekerjaan lebih baik, peluang memiliki, kehidupan lebih terjamin serta sebuah negara yang mempunyai keyakinan menentukan masa depannya sendiri.
“Kerana akhirnya, Agenda Malaysia Biru tidak boleh berhenti sebagai sebuah gagasan yang kita bicarakan. Ia mesti menjadi masa depan yang kita bina bersama,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Beliau berkata demikian susulan penganjuran BN Forum Siri Ke-12 yang membincangkan Agenda Malaysia Biru bersama beberapa panel termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Khairy Jamaluddin; Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi dan Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
Menurut beliau, pelbagai pandangan, teguran serta idea dikemukakan sepanjang forum tersebut dan sesuatu gagasan tidak akan menjadi lebih baik sekiranya hanya pandangan yang menyenangkan mahu didengar.
Sebaliknya, katanya, setiap gagasan perlu dicabar, diperhalusi dan diperkukuh supaya mampu menjawab persoalan yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Justeru, beliau mahu perbincangan mengenai Agenda Malaysia Biru diperluaskan selepas ini dengan melibatkan lebih ramai pakar, pemain industri, golongan muda serta masyarakat dari seluruh negara.
“Kalau ada yang perlu diperbaiki, kita perbaiki. Kalau ada yang lebih baik, kita dengarkan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahid Hamidi


