KUALA LUMPUR – Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim membidas pandangan pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berhubung Reformasi Pendidikan.
Radin mendakwa pandangan Anuar berhubung Reformasi Pendidikan terlalu awal dan tidak mengambil kira tempoh sebenar yang diperlukan untuk melihat kesan sesuatu reformasi pendidikan.
“Lebih mengecewakan apabila naratif sebegini datang daripada sebuah halaman yang membawa nama Minda UKM. Saya sendiri graduan PhD Pendidikan UKM.
“Sebab itu saya berani berkata, universiti yang sepatutnya menjadi ruang pemikiran kritis janganlah terjebak dengan logik netizen dan populisme,” dakwanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Radin mendakwa, reformasi adalah maraton, bukan larian pecut dan ia adalah perjalanan panjang kerana Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 sudah jelas 10 tahun.
Justeru, katanya, adalah tidak munasabah untuk menuntut keseluruhan hasil perubahan berkenaan dapat dilihat selepas hanya beberapa bulan.
“Macam tanam pokok pagi tadi, petang sudah marah sebab belum berbuah. Itu bukan penilaian reformasi. Itu gelojoh atau gopoh namanya,” dakwanya.
Mengulas keputusan PISA 2025, Radin mengakui skor Matematik Malaysia merosot 11 mata antara 2022 hingga 2025 dan perkara itu merupakan masalah serius yang perlu ditangani.
“Takkan apabila dunia sedang bergelut dengan pemulihan pembelajaran pasca-Covid, kita hanya tengok Malaysia lalu terus menjerit, ‘Menteri gagal! Reformasi gagal!’ “Jangan jadi rabun!” katanya.
Radin turut menyentuh isu buli apabila 27 peratus murid Malaysia dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk buli beberapa kali sebulan atau lebih pada 2025.
Menurutnya, angka itu sememangnya tinggi dan perlu dipandang serius, namun mendakwa satu angka tidak boleh menceritakan keseluruhan cerita.
Beliau berkata perubahan kehidupan kanak-kanak selepas pandemik COVID-19 termasuk penggunaan telefon, internet, permainan dalam talian, media sosial dan hubungan rakan sebaya turut perlu diambil kira.
“Tetapi kalau kita benar-benar mahu menjadi masyarakat berilmu, jangan ambil satu angka, satu tragedi dan satu tahun, lalu hukum seluruh reformasi pendidikan yang belum pun mencecah 10 peratus perjalanannya. Lihat gambaran yang lebih besar. Itu bukan pemikiran kritis. Itu reaksi emosional,” dakwanya.
Beliau menegaskan kenyataannya bukan bertujuan mempertahankan kerajaan, sebaliknya mempertahankan standard pemikiran dalam wacana pendidikan.
Radin turut mempersoalkan sama ada kritikan yang disiarkan menerusi Minda UKM itu merupakan pandangan rasmi platform berkenaan atau sekadar pandangan peribadi pentadbir halaman tersebut.
“Sebagai graduan PhD UKM, saya fikir institusi sebesar UKM perlu diberikan teguran. Jangan sampai Minda UKM menjadi sekadar emosi yang kebetulan memakai nama UKM,” dakwanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Radin Muhd Imaduddin


