KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa sedih susulan kematian seorang lagi pelajar dalam keadaan tragis di sebuah sekolah di selatan tanah air.
“Pagi-pagi sudah mendapat berita sedih kematian seorang lagi pelajar dalam keadaan tragis di sebuah sekolah di Selatan Tanahair,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau turut menitipkan doa agar anak-anak sentiasa diberikan perlindungan dan dijauhkan daripada sebarang musibah.
“Moga Allah pelihara dan lindungi anak-anak kita daripada sebarang musibah,” katanya.
Terdahulu, pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat sebelum disahkan meninggal dunia.
Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng dan suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MYNEWSHUB


