KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang pegawainya ditahan selepas ditemukan bersama sepucuk senjata api, sejumlah peluru serta cecair disyaki bahan terlarang di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 28 September lalu.
Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik (CKS), Markas Tentera Darat Malaysia, pegawai berkenaan kini berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
TDM memaklumkan saringan awal air kencing terhadap pegawai berkenaan didapati positif Mitragynine, namun ia masih tertakluk kepada pengesahan lanjut menerusi analisis makmal selain hasil siasatan pihak berkuasa.
Susulan kejadian berkenaan, TDM mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan terhadap semua stor senjata dan stor peluru bagi memastikan tahap keselamatannya.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua senjata dan peluru adalah lengkap, mencukupi serta tiada sebarang kehilangan direkodkan,” menurut kenyataan itu.
TDM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang perkara membabitkan anggota dan pegawai tentera serta sentiasa memberi perhatian terhadap aspek disiplin, keselamatan dan pematuhan peraturan.
Pada masa sama, TDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan yang disahkan mendapati berlaku sebarang pelanggaran peraturan.
TDM turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat belum disahkan, selain mengelakkan spekulasi yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan proses siasatan.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi TDM pada masa bersesuaian,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB


