KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi 10 Briged (Para) sedang melaksanakan Eksesais LINUD MALINDO Tahun 2026 bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) di sekitar Kem Terendak, Melaka dan Kawasan Am Yan, Kedah.
Menurut kenyataan TDM hari ini, eksesais berkenaan berlangsung selama 10 hari bermula 26 September hingga 5 Oktober 2026.
Fasa serangan akhir latihan itu dijadualkan berlangsung pada Ahad ini, 4 Oktober, dengan tumpuan diberikan di Kawasan Am Yan, Kedah.
Sehubungan itu, TDM menasihatkan masyarakat supaya kekal tenang dan tidak cemas sekiranya melihat peningkatan pergerakan anggota tentera bersenjata serta konvoi taktikal membabitkan kenderaan berat di kawasan berkenaan.
Orang ramai juga mungkin mendengar bunyi letupan terkawal sepanjang latihan tersebut berlangsung.
TDM menjelaskan, semua aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada senario latihan ketenteraan yang dirancang rapi dengan pematuhan ketat terhadap parameter keselamatan awam.
Pada masa sama, TDM menghargai kefahaman dan kerjasama pihak berkuasa negeri serta komuniti setempat bagi memastikan eksesais berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan ketenteraman harian.
Menurut TDM, latihan itu dilaksanakan demi memastikan kelangsungan kedaulatan negara.
Kenyataan berhubung Eksesais LINUD MALINDO 2026 itu dikeluarkan Cawangan Komunikasi Strategik (G2) TDM pada Jumaat. – MYNEWSHUB


