KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik mendakwa konon Malaysia berisiko kembali kepada ‘zaman kegelapan’ sekiranya wujud perubahan politik yang membawa kepada kembalinya Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Dakwa beliau, kebimbangannya bukan semata-mata mengenai isu pengampunan Najib, sebaliknya persepsi seolah-olah wujud sentimen dalam kalangan rakyat yang mahu kembali kepada era pentadbiran Najib.
Maszlee malah mendakwa beliau sendiri berhubung dengan beberapa pemimpin luar negara serta diplomat yang mula mempersoalkan sama ada perkembangan politik semasa menandakan Malaysia akan kembali kepada ‘zaman kegelapan’
“Keputusan yang baru ini (pengampunan bersyarat bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah) kita tidak pertikaikan. Ini ikut Perlembagaan dan ini keputusan Agong. Kta iktiraf.
“Cuma sentimen luar. Saya sendiri pun berhubung dengan pemimpin-pemimpin luar, dengan duta-duta. Mereka bertanyakan apakah ini menandakan Malaysia akan kembali Kepada ‘zaman kegelapan’?
“Zaman salah guna kuasa hatta Tabung Haji pun disalah gunakan, FELDA disalah gunakan, MARA disalah gunakan Apakah ini kembali? Kalau kembali dia (pemimpin luar) kata ‘Malaysia is not a good place for investment anymore’. Dia pun tak nak buat berniaga di sini,” dakwanya menerusi satu podcast.
Maszlee mendakwa, keadaan itu merupakan risiko yang perlu dihadapi negara, namun yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai formula untuk memulihkan keyakinan berkenaan selagi pentadbiran semasa dapat diteruskan.
“Tetapi jika dengan syarat beliau masih menjadi Perdana Menteri lagi. Tapi kalau berlakunya perubahan dan sebagainya, saya kira Malaysia akan kembali kepada zaman kegelapan.
“Negara luar mula hilang keyakinan, tapi sekarang ini mereka tengah ‘put on hold’, tengok macam mana. Sebab kalau kembali kepada rejim lama, saya kira tak ada orang ingin melabur.
“Apa malu? Bosku buatlah, ambillah duit. Salah guna Tabung Haji pun, apa malu? Jadi hero lagi. Jadi itu yang kita risaukan dan pada waktu itu kita akan hilang moral kompas kita. Malah kita akan hilang agama kita. Di manakah nilainya bila kita menghalalkan curi, menghalalkan ‘sakau’?” dakwanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video Podcast: Akaun Media Sosial Dr Maszlee Malik


