KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan berhubung perubahan tempoh masa tambahan ketika perlawanan Indonesia menentang Bangladesh dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026.
FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius insiden pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu apabila masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudiannya berubah kepada tujuh minit.
Menurut FAM, permohonan rasmi itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas, prosedur serta keadaan yang menyebabkan tempoh masa tambahan berkenaan berubah.
Badan induk bola sepak negara itu menegaskan pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting bagi memastikan setiap aksi berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.
FAM berkata, perkara berkenaan perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana perlawanan Indonesia-Bangladesh melibatkan persaingan menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final.
Sehubungan itu, FAM menggesa FIFA meneliti insiden berkenaan serta memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat pegawai perlawanan.
Penjelasan itu termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan daripada dua kepada tujuh minit dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, FAM menegaskan permohonan tersebut bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan.
Sebaliknya, FAM berkata tindakan itu bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan, selain memastikan ketelusan serta mengelakkan kekeliruan berhubung insiden berkenaan.
Malaysia sebelum itu membelasah Singapura 6-0 dan menamatkan saingan Kumpulan A dengan tujuh mata serta perbezaan gol +9. Indonesia pula menewaskan Bangladesh 9-2 untuk turut mengumpul tujuh mata dengan perbezaan gol +9.
Apa yang menjadi perhatian, Indonesia menjaringkan dua gol pada minit 90+6 dan 90+7. Dua jaringan lewat berkenaan membolehkan Indonesia mengumpul 11 gol sepanjang peringkat kumpulan, berbanding sembilan gol Malaysia.
Kelebihan jumlah jaringan itu akhirnya membolehkan Indonesia mengatasi Harimau Malaya dalam kedudukan kumpulan dan mara ke final. – MYNEWSHUB


