KUALA LUMPUR – Pengasas parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau gelar sebagai jaguh tatakelola negara menjelaskan kesan kejatuhan saham Zetrix AI Berhad terhadap dana awam.
Bekas Menteri Ekonomi itu mendakwa, saham Zetrix menjunam 93.4 peratus daripada 75.5 sen pada 1 April kepada lima sen pada 19 Oktober 2026 dengan kejatuhan ketara bermula 28 Ogos.
Ratfizi memetik rekod awam yang didakwa menunjukkan KWSP memegang 67,674,000 saham dan UJSB 211,507,500 saham setakat 1 April, manakala KWAP 390,090,000 saham setakat 2 Oktober 2025.
“Maklumat terkini pegangan dana-dana awam di dalam Zetrix tidak diketahui kerana ia tidak dilaporkan sehinggalah Laporan Tahun Zetrix bagi tahun kewangan 2026 dimuktamadkan.
“Bagaimanapun berdasarkan maklumat pegangan setakat Oktober 2025 dan April 2026, jumlah saham dipegang oleh ketiga-tiga dana awam ini begitu besar,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Rafizi berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan perlu mendedahkan jumlah saham Zetrix dipegang syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada 1 April lalu.
Beliau turut menuntut jumlah pegangan pada 20 Oktober serta nilai kerugian atas kertas bagi saham yang masih dimiliki dan kerugian sebenar bagi saham yang dijual sejak 1 April, berdasarkan harga pembelian asal.
Selain itu, Rafizi mempersoalkan syarikat mana menjadi pembekal teknologi kepada projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) apabila Zetrix melupuskan pegangan di dalam HeiTech Padu dan kesan kepada pelaksanaan projek bertaraf keselamatan nasional itu.
Beliau mendakwa kejatuhan Zetrix mendedahkan masalah kapitalisme kroni di bawah pentadbiran Anwar dan berikrar membangkitkan isu itu sehingga rakyat memperoleh jawapan memuaskan serta pihak terbabit disiasat.
“Pentadbiran Madani terutama Anwar sebagai Menteri Kewangan tidak lagi berdiam diri dan berharap isu ini tidak disedari rakyat. Sebagai jaguh tata kelola negara, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada Anwar untuk menjelaskan,” katanya. – MYNEWSHUB


