KUALA LUMPUR – Laman Facebook Najib Razak menyindir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook susulan perkembangan terbaharu berhubung peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Menerusi satu hantaran, laman Facebook bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan pendirian Anthony Loke yang sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
“Rupanya sudah bertukar menjadi prinsip letak jawatan yang bersyarat,” menurut hantaran tersebut.
Sindiran itu dipercayai merujuk kepada kenyataan terbaharu Anthony Loke bahawa beliau akan kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan sehingga Najib memulakan tahanan rumah.
Anthony Loke dilaporkan berkata, beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Keputusan itu dibuat bagi menyampaikan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah. – MYNEWSHUB


