KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan memberikan penjelasan rasmi dan konsisten berhubung keputusan menggugurkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS)
DPMM berkata, penjelasan itu penting susulan wujud perbezaan kenyataan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai proses yang membawa kepada keputusan tersebut.
DPMM mahu kerajaan menjelaskan bukan sahaja rasional pengguguran syarat berkenaan, malah siapa yang mempertimbang, memperakukan dan meluluskan keputusan itu, kementerian serta agensi yang dirujuk, proses libat urus yang dilakukan serta data dan penilaian impak yang menjadi asas keputusan.
“Perkara ini lebih besar daripada angka 30 peratus semata-mata. Ia melibatkan konsistensi dasar, tadbir urus dalam proses membuat keputusan, dan hala tuju agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.
DPMM turut membangkitkan persoalan bagaimana keputusan itu selari dengan usaha kerajaan meningkatkan pemilikan ekonomi Bumiputera, khususnya apabila salah satu mekanisme penyertaan ekuiti tidak lagi ditetapkan tanpa penerangan mencukupi mengenai mekanisme alternatif.
Menurut DPMM, keterbukaan pasaran dan pengukuhan penyertaan Bumiputera tidak seharusnya dilihat sebagai dua matlamat yang bertentangan, sebaliknya dasar yang baik perlu mampu menarik pelaburan dan meningkatkan daya saing sektor pendidikan sambil menyediakan peluang bermakna kepada Bumiputera sebagai pemilik, pengusaha, pelabur dan peserta rantaian bekalan.
Justeru, DPMM mahu kerajaan memperincikan skop IPS yang terlibat, tarikh kuat kuasa, proses penyelarasan antara kementerian, penilaian impak terhadap pemilikan ekonomi Bumiputera serta mekanisme alternatif bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam sektor pendidikan swasta tidak terhakis. – MYNEWSHUB


