KUALA LUMPUR – “Orang beriman tidak sebarkan fitnah, tidak sebarkan kebencian dan tidak sebarkan hasutan. Orang beriman sebarkan kebaikan, sebarkan kasih sayang dan sebarkan salam.”
Demikian penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan ketika mengingatkan masyarakat supaya menghentikan perbuatan menyebarkan fitnah dan tuduhan yang boleh membawa kepada dosa qazaf.
Menerusi hantaran di media sosial bertajuk “Jauhi Dosa Qazaf”, beliau berkata ketika masyarakat sepatutnya membicarakan perkara lebih besar dan bermanfaat, masih terdapat pihak yang terperangkap dengan tuduhan serta fitnah.
Menurutnya, keadaan lebih menyedihkan apabila perbuatan sedemikian turut dilakukan oleh individu yang mempunyai latar belakang agama.
“Sudah-sudahlah dan hentikanlah fitnah dan tuduhan yang boleh jatuh qazaf. Lebih baik kita fokus buat kebaikan dan kebajikan sebanyaknya,” katanya.
Qazaf bermaksud menuduh seseorang melakukan zina atau perbuatan seksual tertentu yang membawa maksud zina tanpa mengemukakan bukti yang ditetapkan syarak.
Contohnya, seseorang secara terbuka menuduh individu lain berzina tetapi tidak dapat mengemukakan empat orang saksi yang memenuhi syarat.
Zulkifli turut memetik ayat 19 Surah al-Nur yang antaranya memberi peringatan mengenai azab terhadap mereka yang suka menyebarkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman.
Beliau berkata, dirinya pernah menulis artikel khusus berhubung isu qazaf yang diterbitkan dalam Jurnal Hukum.
Menurutnya, tindakan undang-undang boleh digerakkan berhubung kesalahan tersebut, namun mengakui ia agak sukar dilaksanakan berikutan terdapat kelompongan dalam enakmen dan akta sedia ada.
Pada masa sama, katanya, tindakan pentadbiran dalam konteks Hal Ehwal Agama (HEA) juga boleh dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan qazaf.
Antara tindakan yang boleh dipertimbangkan termasuk penamatan tauliah dan pemberhentian, tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
Mengakhiri hantaran itu, Zulkifli sekali lagi menyeru masyarakat khususnya umat Islam supaya memilih untuk menyebarkan perkara yang membawa kebaikan dan keharmonian. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zulkifli Hasan


