JOHOR BAHRU – Bekalan air di Johor masih berada dalam keadaan terkawal meskipun paras Empangan Machap menunjukkan penyusutan susulan cuaca panas berterusan sejak awal Ogos lalu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, berdasarkan unjuran semasa dan langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan, bekalan air dijangka dapat terus bertahan sehingga awal November, bergantung kepada keadaan cuaca dan paras sumber air.
Menurutnya, paras pengambilan air di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam ketika ini masih berada pada tahap normal dan pemantauan rapi akan diteruskan bagi memastikan bekalan kepada rakyat kekal stabil.
Onn Hafiz berkata demikian selepas turun ke Empangan Machap bagi melihat sendiri keadaan terkini sumber air mentah serta langkah yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menghadapi cuaca panas dan jerebu.
Antara langkah mitigasi yang dilaksanakan ialah Operasi Pembenihan Awan (OPA) bermula 21 hingga 24 September di beberapa kawasan sasaran termasuk sekitar Empangan Machap.
Kerajaan negeri turut mengaktifkan sistem pemindahan air mentah ke Ulu Sungai Benut melalui pontun dari Kolam Yong dan Empangan Machap dengan tambahan aliran keseluruhan antara 25 hingga 30 juta liter sehari (MLD).
Selain itu, ketinggian pintu air di LRA Simpang Renggam dinaikkan bagi membantu mengekalkan paras air di kawasan pengambilan loji berkenaan.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengambil langkah diperlukan bagi memastikan keperluan air rakyat terus diberi keutamaan.
“Saya memahami kebimbangan rakyat dalam menghadapi keadaan cuaca ketika ini. Insya-Allah, Kerajaan Negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan keperluan air rakyat terus diberi keutamaan,” katanya.
Beliau turut berharap hujan mencukupi turun di kawasan tadahan bagi membantu memulihkan paras Empangan Machap, selain menasihatkan rakyat Johor menjaga kesihatan dalam menghadapi cuaca panas dan jerebu.
Empangan Machap merupakan antara sumber air mentah penting bagi LRA Simpang Renggam yang mempunyai kapasiti rawatan 64 juta liter sehari dan membekalkan air terawat ke Simpang Renggam, Machap, utara Pontian serta sebahagian selatan Batu Pahat. – MYNEWSHUB


