KUALA LUMPUR – Sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan, menurut Tetuan Shafee & Co.
Firma guaman yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, keadaan berkenaan menyebabkan pelupusan aset tersebut tidak berada sepenuhnya dalam kawalan anak guam mereka pada masa ini.
“Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat tersebut oleh itu bergantung, sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta yang perlu dipenuhi Najib sebelum pelaksanaan tahanan rumahnya dapat dilaksanakan.
Tetuan Shafee & Co. menjelaskan, pengampunan yang diperkenankan kepada Najib adalah pengampunan bersyarat dan pelaksanaan tahanan rumah bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan.
Sehingga denda berkenaan dibayar kepada mahkamah, Najib kekal berada di Penjara Kajang.
Firma itu berkata, Najib bersama pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat berkenaan termasuk implikasi praktikalnya.
Dalam keadaan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanahnya masih dibekukan, Najib juga sedang mendapatkan nasihat serta mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik memenuhi syarat pembayaran RM50 juta tersebut.
Dalam pada itu, Tetuan Shafee & Co. berkata, Najib merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tampil menawarkan bantuan bagi membantunya memenuhi syarat berkenaan.
Menurut firma guaman itu, Najib amat bersyukur dan terharu apabila begitu ramai pihak menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan serta berdiri bersamanya.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menyatakan beliau tidak mahu mana-mana pihak termasuk parti, ahli dan penyokongnya mahupun orang ramai berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas namanya.
Najib pada masa sama tetap menghargai mereka yang secara sukarela dan mengikut kemampuan masing-masing memilih untuk menghulurkan sokongan serta bantuan.
Menurut kenyataan itu, keikhlasan mereka menjadi sumber kekuatan besar kepada Najib sejak dahulu sehingga hari ini. – MYNEWSHUB


