JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengucapkan tahniah kepada Datuk Ab Ghani Hassan serta barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipilih menerajui badan induk bola sepak negara.
Baginda bertitah, barisan kepimpinan berkenaan menerima kepercayaan yang jelas daripada para perwakilan untuk memimpin bola sepak Malaysia.
“Tahniah kepada Dato’ Ab Ghani Hassan dan barisan kepimpinan baharu FAM yang telah menerima kepercayaan yang jelas dari delegasi-delegasi bagi menerajui bola sepak Malaysia,” titah baginda menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ab Ghani yang juga Presiden Malaysian Football League (MFL) dipilih sebagai Presiden FAM bagi baki penggal 2025-2029 dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM, hari ini.
Ab Ghani memperoleh 20 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang meraih lima undi dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan berkenaan.
Pemilihan berlangsung sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 di Petaling Jaya yang diadakan bagi mengisi semula barisan kepimpinan FAM. – MYNEWSHUB


