SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hasan menggesa pucuk pimpinan UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan kerana menyifatkan sudah tiada manfaat untuk parti itu terus bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, UMNO Bahagian Shah Alam sebelum ini telah meluluskan usul supaya kerjasama dengan PH diputuskan ketika persidangan bahagian, selain mendakwa terdapat bahagian lain yang turut mengambil pendirian sama.
“Tariklah sokongan sebelum terlambat. Bila PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tiada cukup sokongan dia akan terpaksa bubar Kerajaan Pusat.
“Rakyat masih berasa pelik kenapa di peringkat negeri kita bertarung dengan PH, tapi di Pusat kita masih memberi sokongan.
“Saya sendiri dah cuba bagi rakyat faham tentang pentingnya berada dalam Kerajaan Pusat. Namun, kontraktor pun dah disekat ‘claim’ mereka. Jadi, tak ada guna dah.
“Saya yakin rakyat bersama kita untuk kita jatuhkan PH yang dah tiga kali kalah Pilihan Raya Negeri sejak akhir 2025,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Azrul turut mendakwa perkembangan mutakhir dalam hubungan UMNO-PH menunjukkan kerjasama berkenaan semakin sukar untuk dipertahankan.
Terdahulu, beliau melontarkan kritikan keras terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan termasuk mendakwa DAP semakin dominan selepas lebih tiga tahun Anwar menjadi Perdana Menteri.
Beliau turut mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa bertujuan memalukan pemimpin UMNO serta membangkitkan isu bayaran kepada kontraktor bagi projek kementerian yang diterajui parti itu.
“Baru tiga tahun lebih jadi Perdana Menteri, ceplos dan DAP dah naik tocang. Lebih teruk, mereka menyalahguna kuasa untuk memalukan pemimpin-pemimpin UMNO.
“Tambahan pula, dah lulus projek kementerian yang dipegang UMNO tapi tak nak bayar kontraktor hanya kerana nak ugut kita kerjasama dengan mereka dalam PRN Melaka,” dakwanya.
Azrul turut mempersoalkan mengapa UMNO perlu terus memberikan sokongan kepada kerajaan sekiranya parti itu, menurut dakwaannya, terus menerima tekanan daripada rakan kerjasama sendiri.
“Sebenarnya dah lama kita dah hidu PH tak boleh dipercayai. Mungkin kepimpinan risau bertambah ramai lagi pemimpin UMNO yang nak dizalimi oleh kerajaan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan ura-ura mengenai kemungkinan 47 pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dihidupkan semula sebagai antara perkara yang menurutnya menimbulkan kebimbangan dalam parti.
Sehubungan itu, Azrul berpandangan sudah tiba masanya pucuk pimpinan UMNO menilai semula kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan dan membuat keputusan sebelum terlambat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hasan


