Oleh Mynewshub
SHAH ALAM – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan bahawa perkhidmatan Dr Solehah Yaacob sebagai kakitangan akademik universiti itu telah berakhir berkuat kuasa pada 27 April 2026.
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM dalam kenyataan hari ini berkata, Solehah tidak lagi mempunyai sebarang kaitan rasmi dengan universiti berkenaan selepas tarikh tersebut.
Menurut kenyataan itu, penggunaan sebarang gelaran, jawatan, kulliyyah, pusat, institut, jabatan atau apa-apa bentuk kaitan rasmi dengan UIAM oleh Solehah adalah tidak dibenarkan.
“Perkhidmatan Dr Solehah Yaacob sebagai kakitangan akademik universiti ini telah berakhir berkuat kuasa 27 April 2026,” menurut kenyataan berkenaan.
UIAM berkata penjelasan mengenai status perkhidmatan serta hubungan rasmi Solehah dengan universiti itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Solehah dikenali sebagai ahli akademik dalam bidang bahasa Arab dan pemikiran linguistik.
Namanya beberapa kali menjadi perhatian umum susulan teori berkaitan sejarah dan tamadun Melayu yang dipertikaikan oleh sebahagian ahli akademik.
Antara yang paling mencetuskan kontroversi ialah teorinya bahawa masyarakat Rom purba mungkin mempelajari teknologi pembinaan kapal daripada masyarakat Alam Melayu.
Beliau juga pernah mengemukakan pandangan mengenai kemungkinan pahlawan Iban Rentap mempunyai darah Melayu dan kaitan keturunan dengan Hang Tuah, selain teori terbaru bahawa kekayaan bijih besi Kedah purba mungkin mempunyai kaitan dengan hujan meteor.
Kenyataan UIAM itu sekali gus menjelaskan bahawa Solehah tidak lagi mewakili universiti berkenaan dalam sebarang kapasiti rasmi.
– MYNEWSHUB


